Friday, September 10, 2010

Terangkan maksud multimedia.

Perkataan "multimedia" adalah kata gabungan kepada dua perkataan utama iaitu multi dan medium. Multi membawa maksud banyak atau pelbagai.Medium merupakan alat untuk menyampaikan atau membuat sesuatu, alat pengantar atau pengantara suatu bentuk komunikasi semasa seperti surat khabar, televisyen, majalah atau internet. Secara umumnya, multimedia ialah suatu proses komunikasi interaktif berasaskan teknologi komputer yang menggabungkan penggunaan pelbagai unsur media digital seperti teks, audio, grafik, animasi dan video untuk menyampaikan maklumat. Multimedia juga boleh merujuk kepada penggunaan teknologi maklumat untuk mencipta,menyimpan dan menggunakan kandungan multimedia.


Kenapa konsep multimedia itu diberi keutamaan dalam banyak segi saluran maklumat?



Penggunaan multimedia semakin meluas dalam dunia teknologi hari ini. Oleh itu,telah wujud pelbagai bidang yang menggunakan multimedia. Contohnya,kegunaan multimedia dalam bidang pendidikan,perniagaan atau perdagangan, perubatan, hiburan dan sebagainya. Multimedia mempunyai banyak kepentingan dan kelebihannya dalam banyak segi saluran maklumat. Misalnya,penggunaan media massa seperti surat khabar, majalah, televisyen dan internet dapat menyebarkan sesuatu maklumat dengan cepat. Selaras dengan itu,multimedia mempunyai kepentingannya yang tersendiri dalam bidang-bidang tertentu.

PENGGUNAAN MULTIMEDIA DALAM PENDIDIKAN

Jika dahulunya pendidikan tidak didedahkan dengan penggunaan teknologi, namun pada era globalisasi ini bidang pendidikan banyak menggunakan teknologi multimedia sebagai saluran yang berkesan dalam menyampaikan sesuatu mesej atau maklumat kepada pelajar-pelajar. Dengan adanya kemudahan teknologi multimedia,ia akan memudahkan segala urusan pembelajaran dan pengajaran di samping dapat menjimatkan masa.Teknologi multimedia juga mampu memberi kesan yang besar dalam bidang komunikasi dan pendidikan kerana ianya boleh mengintegrasikan teks, grafik, animasi, audio dan video.

Antara contoh penggunaan multimedia dalam bidang pendidikan ialah penggunaan microsoft word, microsoft powerpoint dan sebagainya. Metod sebegini dapat memberikan gambaran lebih jelas lagi apa yang ingin disampaikan melalui penggunaan multimedia. Selain itu, media juga telah dapat dibuktikan sebagai satu alat bantu mengajar yang dapat memudahkan panyampaian pengajar dan juga meningkatkan tahap penerimaan dan pembelajaran pelajar.

Kelebihan penggunaan multimedia dalam pendidikan
a) sebagai sumber maklumat/pengkalan data
   -mencari hubungan atau kaitan dari satu maklumat ke maklumat lain
   -untuk menghasilkan persekitaran yang kaya dengan maklumat
   -memperkayakan serta mempelbagaikan aktiviti pembelajaran


b)sebagai bahan khusus untuk memperkayakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran(P&P)
   -memperkayakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk pelajar prasekolah dan       
    sekolah rendah.
   -menghiburkan kanak-kanak dan meningkatkan kemahiran membaca, mendengar dan 
    berinteraksi secara individu dengan teknologi terkini.

c)sebagai alat bantu mengajar 
   -menginteraksikan klip video dan animasi yang sesuai supaya lebih menarik dalam   
    pengajaran.


PENGGUNAAN MULTIMEDIA DALAM PERNIAGAAN

Teknologi yang relevan boleh memberikan impak yang positif jika digunakan dalam sesebuah perniagaan. Penggunaan teknologi dapat mengembangkan perniagaan ke negara lain apabila wujudnya teknologi canggih seperti internet dan e-dagang. Selain itu, penggunaan multimedia dapat mewujudkan hubungan diplomasi antara negara kerana saling berhubung walaupun pada jarak yang jauh. Antara teknologi yang menjadi aplikasi penting termasuklah aplikasi tanpa wayar, 3G (generasi ketiga), pembantu peribadi digital (PDA) dan perkomputeran di rumah. Penggunaan multimedia amat penting untuk mengembangkan lagi perniagaan dan perdagangan.

Multimedia digunakan dalam perniagaan seperti persembahan (presentation), latihan, pemasaran, demonstrasi produk, katalog produk dan komunikasi di dalam rangkaian. Persembahan multimedia pada masa kini dapat memberi minat kepada pendengar dengan mencantumkan unsur animasi, audio, dan klip video dalam satu persembahan berbanding menggunakan 35mm slide dan overhead projector yang hanya dapat menggunakan unsur  teks dan grafik sahaja.


Multimedia mengubah cara perniagaan. Perbankan secara on-line dan membeli-belah secara on-line membina satu masyarakat yang tanpa-wang(cashless). Maybank2U contohnya membenarkan pelanggannya untuk memeriksa baki di akaun bank mereka, melihat transaksi kad kredit, memindahkan wang ke akaun yang lain, melaburkan duit ke dalam saham dan membayar bil secara on-line.

Syarikat membayar wang untuk mengiklankan operasi perkhidmatan perniagaan mereka di internet. Di televisyen, iklan yang dipaparkan adalah percuma kerana syarikat pengiklanan telah membayar kos operasi pemancaran televisyen. Pengiklanan di internet juga mempunyai konsep yang sama seperti di televisyen. Sebagai contoh, iklan-iklan komersial telah membayar satu enjin pencari yang terkenal yahoo.com untuk mempromosikan barangan dan perkhidmatan mereka melalui banner yang disediakan di yahoo.com.

PENGGUNAAN MULTIMEDIA DALAM PERUBATAN

Bidang perubatan juga turut tidak ketinggalan dalam mengaplikasikan penggunaan multimedia. Organisasi seperti hospital, klinik, farmasi dan sebagainya menggunakan sistem-sistem maklumat berkomputer untuk meningkatkan lagi perkhidmatan mereka kepada pengguna. Salah satu aplikasi dalam projek Koridor Raya Multimedia adalah tele-perubatan. Tele-perubatan menggunakan teknologi multimedia untuk menyediakan pelbagai faedah kepada semua pihak dalam sektor perubatan. Ia menyediakan maklumat yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan dan boleh dicapai oleh mana-mana individu. Tele-perubatan menggunakan ICT dan elektronik bagi penyediaan serta menyokong sektor berkaitan yang bukan sekadar sebagai kegunaan setempat, malah amat berfaedah ketika pengguna berada di lokasi berlainan.


Tele-perubatan adalah sistem yang menghubungkan doktor, pentadbir, penyelia perkhidmatan dan pesakit. Hal ini juga dapat menghubungkan masyarakat yang tinggal jauh di pedalaman. Antara aplikasi utama tele-perubatan termasuklah klinikal, pendidikan, pentadbiran, penyelidikan, penilaian atau pemeriksaan pesakit, diagnosis dan perundingan. Hospital Putrajaya merupakan hospital pertama yang mengamalkan pendekatan elektronik.Sistem Maklumat Hospital Bersepadu (THIS) membolehkan proses rujukan kes pesakit dilakukan di mana sahaja pesakit mendapat rawatan. Dalam Rancangan Malaysia ke-8 mengatakan tele-perubatan bertujuan mempercepatkan pencapaian visi penjagaan kesihatan di Malaysia untuk melahirkan individu,keluarga dan masyarakat yang sihat.